Halaman

07 May 2011

Taraf hidup Orang Asli makin baik

Oleh: Aida Abd Rahman

Taraf hidup masyarakat Orang Asli di negara ini semakin baik apabila lebih 1,000 golongan itu bergelar penjawat awam di 144 agensi kerajaan seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Dato’ Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertambahan jumlah itu menunjukkan taraf hidup dan kesedaran masyarakat Orang Asli di negara ini sudah banyak berubah berbanding dahulu.

"Masyarakat Orang Asli bukan sahaja bekerja di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sahaja, tetapi turut ditempatkan di agensi-agensi lain.
"Ini merupakan perkembangan yang baik kerana mereka kini menyertai arus perdana, bukan sahaja dari segi ekonomi, tapi juga terlibat dalam pentadbiran negara," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Isu Tanah Orang Asli di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Koperasi negeri, Dato’ Mohamed Awang Tera.

Terengganu merupakan negeri kelima menganjurkan mesyuarat itu selepas kementerian mengadakan mesyuarat yang sama di Johor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan.

Mesyuarat memfokuskan kepada usaha membantu dan memajukan masyarakat Orang Asli di seluruh negara termasuk menyelesaikan masalah tanah yang dituntut serta dihadapi oleh masyarakat itu.

Katanya, segala perbincangan dan persetujuan yang dicapai daripada seluruh negeri kelak akan dijadikan sebagai pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang bakal dibentang di Parlimen.

Selain isu tanah, perbincangan mereka turut menekankanmeningkatkan taraf hidup dan pembangunan golongan itu termasuk penekanan aspek pendidikan, perladangan dan juga ekonomi, selain terlibat secara langsung dalam sektor pembangunan negara.

Terengganu muncul negeri terawal yang mewartakan tanah kepada masyarakat Orang Asli iaitu sejak 1962 dan negeri yang paling banyak mewartakan tanah kepada golongan itu.

Untuk rekod, sebanyak 50,563.51 hektar tanah yang diduduki oleh masyarakat Orang Asli di tiga penempatan di seluruh Terengganu dengan 19,713.65 hektar daripadanya sudah diwartakan sebagai tanah rizab.

Sementara itu, sebanyak 30, 849.84 hektar sudah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri tetapi belum diwartakan.

Tiga penempatan orang asli di Terengganu adalah di Sungai Berua, Hulu Terengganu yang melibatkan 416 orang daripada 88 keluarga, Sungai Pergam, Kemaman seramai 535 orang daripada 114 keluarga dan Sungai Sayap, Besut pula seramai 29 penduduk (lapan keluarga).

Dato’ Seri Shafei berkata, semakin ramai penduduk Orang Asli negara ini mempunyai kedudukan kewangan yang memberangsangkan memandangkan mereka tidak lagi bergantung kepada punca pendapatan tradisional.

"Sudah ramai yang mengusahakan tanaman getah dan kelapa sawit, malah ada yang terlibat dalam sektor perniagaan dan pembinaan," katanya.

Menurutnya, sesetengah daripada mereka tidak lagi memerlukan rumah di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) dan memiliki Rumah Mesra Rakyat kerana keupayaan daripada segi kewangan.