Halaman

03 May 2011

Terengganu bakal bina KTS kedua

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri melalui Terengganu Development Management (TDM) Berhad akan membina hospital pakar swasta kedua bagi menampung lebihan pesakit di Kuala Terengganu Specialist (KTS), Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu.

Hospital baru yang menempatkan 150 katil, dijangka dibina hujung tahun ini bertempat di Batu Buruk, Kuala Terengganu, bakal dilengkapi kemudahan teknologi perubatan moden dan terkini.

Kos pembinaannya masih dalam perbincangan dan apabila siap kelak ia mampu menaikkan lagi imej Terengganu dan syarikat kerana berupaya membina banyak hospital swasta di Pantai Timur.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata hospital itu cukup penting kerana ruang bangunan KTS yang ada sekarang semakin terhad disebabkan permintaan pelanggan semakin tinggi setiap tahun.

Sebelum ini, TDM sudah mempunyai tiga buah hospital bersaiz sederhana termasuk Kuantan Medical Centre di Kuantan dan Kelana Jaya Medical Centre di Selangor.

Menjadi matlamat kerajaan dan TDM untuk kekal sederhana dengan konsep pakar perubatan komuniti yang menawarkan penjagaan kesihatan tanpa elemen-elemen kemewahan.

"Dengan kata lain, perkhidmatan yang ditawarkan menitikberatkan pelanggan atau pesakit dan seterusnya mampu dinikmati oleh orang ramai.

“Perkhidmatan yang ditawarkan di semua hospital milik TDM adalah setanding dengan apa yang terdapat di hospital negara-negara maju,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Hari Penyakit Kronik peringkat Terengganu di Bandar Permaisuri, Setiu, hari ini ( 3 Mei).