Halaman

21 May 2011

Umno Terengganu makin kukuh – TPM

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Umno Terengganu terus kukuh di bawah pentadbiran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Haji Ahmad Said.

Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, berkata kebelakangan ini sudah ada kesedaran baru di kalangan pemimpin Umno tempatan untuk bersatu dan berusaha menguatkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

“Umno Terengganu makin kuat apabila Menteri Besar (Dato’ Seri Haji Ahmad) mengambil alih ketua perhubungan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman ( MPK) hari ini.


Hampir 1,000 perwakilan Umno bahagian tersebut menghadiri persidangan tersebut yang turut dihadiri wakil daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Tan Sri Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri turut memuji kehadiran perwakilan dan pemerhati yang begitu ramai dan menjadi petanda kepada kebangkitan Umno dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Beliau turut menaruh keyakinan kepimpinan peringkat negeri mampu menangani pelbagai masalah yang dihadapi parti itu dan menyelesaikannya sebelum PRU13.