Halaman

06 June 2011

Atlet Terengganu ungguli acara judo SUKMA

Atlet judo Terengganu menguasai gelanggang pada hari terakhir acara judo semalam pada temasya Sukan Malaysia ke-14, apabila merangkul enam daripada lapan emas yang dipertandingkan.

Penaung Persatuan Judo Terengganu, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata kejayaan itu melepasi sasaran tiga emas yang ditetapkan oleh persatuan tersebut.

"Ini merupakan rahmat daripada Tuhan dan berkat kesungguhan atlet judo Terengganu. Kejayaan ini juga hasil perancangan awal kerajaan negeri yang telah memulakan program pembangunan judo sejak 2006," katanya kepada pemberita di Dewan Majlis Olimpik Malaysia, semalam.

Terengganu memenangi emas menerusi Syaiful Rizal Ahmad Zaidi dalam acara lelaki atas 90kg dan lelaki bawah 90kg oleh Farish Farhan Badri.

Atlet wanita skuad itu turut mempamerkan pencapaian cemerlang apabila membolot semua pingat emas yang ditawarkan bagi kategori wanita.

Nor Asnida Abdul Razak membawa pulang emas bagi acara atas 70kg, Nor Izzatul Fazlia Mat Tahir (bawah 70kg), Norsafrina Rahman (bawah 63kg) dan Nik Norlydiawati Nik Azman (bawah 57kg).

Sarawak membawa pulang satu emas hasil persembahan bertenaga Brenton Sim menerusi acara lelaki bawah 81kg manakala Pulau Pinang meraih satu emas dalam acara lelaki bawah 73kg oleh Ooi Aik Tong.