Halaman

28 June 2011

Edisi khas Hari Raya Harmoni papar MB dan isteri

Oleh: Aida Abd Rahman



Keluaran khas majalah Harmoni terbitan Utusan Karya bersempena Hari Raya Aidilfitri pada 1 Ogos ini akan menampilkan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud sebagai penghias muka depan majalah itu.

Pada masa yang sama, turut terdapat paparan artikel beserta gambar eksklusif Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri Norliza pada enam muka surat majalah yang berkonsepkan informasi mengenai kekeluargaan itu.

Penolong Pengarang Utusan Karya, Puan Rahaiza Ismail dengan dibantu jurugambarnya, Encik Abdul Fatah Sulaiman menjayakan sesi wawancara khas untuk keluaran itu, di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Sebelum itu, Menteri Besar dan isteri memenuhi slot rakaman untuk program Syahadah sempena Hari Raya Aidilfitri terbitan Radio Televisyen Malaysia yang diketuai Pengurus Pemasaran/Jualan TV, Puan Nor Sanusree Ramli dengan dibantu tiga krew.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Tuan Haji Md Kamaru al-Amin Ismail. Sesi wawancara dan rakaman turut disertai lima kakitangan Bahagian Penerbitan dan Audio Visual Unit Komunikasi Negeri.

Menurut Puan Rahaiza, pihaknya sudah lama merancang untuk memilih Menteri Besar Terengganu itu sebagai penghias muka depan majalah terbitan syarikatnya, bagaimanapun kekangan masa menyebabkan perkara itu beberapa kali tertangguh dan hanya dapat dilaksanakan kini.

“Saya sangat teruja menemui pemimpin terkenal dan cukup merendah diri seperti Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri. Pada awalnya saya menyangka Menteri Besar seorang yang serius, rupa-rupanya persepsi itu tidak benar sama sekali.

“Dato’ Seri bukan hanya mudah mesra dan senang berbicara, malah dalam pertemuan ini, saya melihat sikap spontan beliau yang suka berjenaka serta wujud keserasian antara beliau dengan isteri dan keluarganya,” katanya.



Dalam wawancara itu, Dato’ Seri Haji Ahmad dan isteri mendedahkan kehidupan dan aktiviti harian yang dijalani beliau selepas bergelar Menteri Besar sejak 2008 serta dari sisi lainnya, peranan sebagai ketua keluarga dan juga bapa kepada empat anak hasil perkahwinan dengan To’ Puan Seri Norliza sejak 1984 lalu.

Beliau turut berkongsi pelbagai kejayaan Terengganu dan formula dilaksanakan yang mencetuskan kejayaan itu,selain produk pelancongan yang terdapat di negeri ini.