Halaman

25 June 2011

Guru warden MRSM jalani kursus tingkat sahsiah pelajar

Oleh: Aida Abd Rahman

Semua guru warden di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) seluruh negara bakal menjalani kursus bagi memastikan mereka mampu meningkatkan sahsiah dan akhlak pelajar sepanjang menyelia pelajar berkenaan di asrama.

Kursus melibatkan enam guru warden daripada 45 MRSM seluruh negara yang akan dilaksanakan pada setiap minggu mengikut zon bermula Julai ini.
Pengerusi Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (Muafakat), Haji Hassan Ahmad, berkata pendekatan mengadakan kursus bertujuan memastikan warden dapat memberi perhatian yang lebih kepada setiap pelajar sebagai menggantikan tempat ibu bapa pelajar berkenaan sepanjang mereka di asrama.

Selain itu, katanya ia juga mampu memantapkan sahsiah dan akhlak pelajar serta memastikan mereka sentiasa cemerlang dalam akademik mahupun kokurikulum.

“Ada juga pelajar MRSM yang nakal-nakal dan kita membantu pihak MRSM kerana kita tidak boleh mengharap 100 peratus MRSM, jadi sebagai ibu bapa kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk mengadakan program bagi membina sahsiah pelajar,”katanya selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Muafakat Mara Kali Ke-9, di Hotel Grandcontinental, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said merasmikan majlis itu. Lebih 200 perwakilan hadir ke mesyuarat agung berkenaan.

Haji Hassan berkata, Muafakat berperanan membantu pihak MRSM bagi meningkatkan prestasi akademik pelajar termasuk memanggil tenaga pengajar dari luar untuk mengadakan kelas tuisyen di MRSM yang memerlukan perkhidmatan itu.

“Sekiranya memerlukan peralatan sukanbagi melaksanakan kegiatan kokurikulum, Muafakat akan membantu menyediakan peralatan itu. Selain itu, jika ada pelajar yang miskin dan tidak berkemampuan untuk membayar yuran, membeli cermin mata, kita turut bantu,” katanya lagi.