Halaman

22 June 2011

Himpunan wanita di SMK Seri Nilam

Oleh; Esah Abdullah

Lebih 5,000 jentera dan pengundi wanita di kawasan Parlimen Kuala Terengganu akan dihimpunkan dalam Program Himpunan Mesra Wanita 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nilam, Wakaf Mempelam, pada 30 Jun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dijangka hadir untuk bertemu dengan jentera dan pengundi wanita dan seterusnya melancarkan program berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Pelaksana Program, Puan Normala Said berkata, program berkenaan bertujuan menghimpunkan pengundi wanita dalam parlimen berkenaan sekali gus mendengar amanat pemimpin nombor satu negeri itu.

Katanya, bersempena dengan perhimpunan berkenaan pada sebelah pagi turut diadakan pertandingan Tilawah al-Quran Wanita Peringkat Negeri yang disertai lapan peserta dari lapan kawasan Parlimen seluruh negeri.

“Turut diadakan acara senamrobik, pertandingan masakan, derma darah, demontrasi mempertahankan diri daripada kejadian ragut serta cara pemakaian tudung dan solekan,” katanya kepada Teganukita.

Selain itu kumpulan wanita yang menghasilkan produk makanan, kraftangan dan sebagainya diberi peluang membuka gerai jualan sepanjang program berlangsung.

Menurut Puan Normala, program ini merupakan projek perintis di mana selepas ini akan dilaksanakan pula di Parlimen Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

“Golongan wanita merupakan penyumbang kepada kemenangan parti Barisan Nasional (BN) dan kesetiaan mereka sukar digugat justeru pertemuan dengan Menteri Besar merupakan sesuatu yang amat dinantikan,” katanya.