Halaman

27 June 2011

INSPI buka pintu kepada pelajar luar negara

Oleh : KAMARUDIN B MAT AKIB


Pengerusi INSPI, Haji Muhammad Ramli Nuh menyampaikan ucapan di Majlis I’dul Ilmi INSPI 2011 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman. - Foto: Zulkipli Putra.

Institut Pengajian Islam (INSPI) di Kemaman akan menawarkan tempat pengajian kepada pelajar dari luar negara, dalam usaha menaiktaraf pusat pengajian berkenaan ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi INSPI, Haji Muhammad Ramli Nuh, berkata pengambilan pelajar dari Kemboja akan dimulakan bagi sesi pengajian 2012 dan ia akan diperluaskan ke beberapa negara lain di Asia Tenggara.



“Kerajaan negeri menerima banyak permohonan daripada negara Kemboja untuk kemasukan pelajar mereka di bidang pengajian agama di INSPI.

“Selepas perkara ini dibawa kepada mesyuarat jawatankuasa Pemegang Amanah Yayasan Islam Terengganu (YIT), pengambilan pelajar dari luar negara diluluskan pada April lalu,” katanya kepada Teganukita ketika ditemui selepas Majlis I’dul Ilmi INSPI 2011 di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman, hari ini.



INSPI yang ditadbir YIT mula ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu bagi menggantikan Markas Pengajian Islam (Marpa), dalam usaha kerajaan negeri melahirkan graduan berlatarbelakang pengajian agama.

Sebahagian graduannya kini mengisi jawatan imam, bilal, pegawai agama dan pembantu hal ehwal Islam di seluruh negara manakala selebihnya melanjutkan pelajaran di Mesir, Jordan dan Indonesia dalam pelbagai bidang pengajian agama.



Haji Muhammad Ramli berkata, pihaknya telah berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi menaja pelajar dari negara Kemboja melanjutkan pelajaran di INSPI.

“Selepas ini kita bercadang untuk mengambil pelajar miskin dari negara-negara jiran yang lain untuk melanjutkan pelajaran di INSPI.

“Langkah ini bukan saja bertujuan membantu saudara seagama kita yang miskin, tetapi juga membantu menaikkan taraf INSPI ke peringkata antarabangsa,” ujar beliau.

Beliau berkata, pihaknya juga kini sedang berusaha menambah prasarana bagi membolehkan lebih ramai pelajar dapat diambil pada masa depan.