Halaman

29 June 2011

Kejohanan Motosikal Lasak Asia di Gong Badak

Oleh: Aida Abd Rahman



Lebih 150 peserta dari lapan negara dijangka menyertai Kejohanan Motosikal Lasak Asia yang akan berlangsung buat julung kalinya di Terengganu bertempat di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu bermula 14 hingga 16 Julai ini.

Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata kejohanan yang terbahagi kepada enam kategori melibatkan peringkat Asia serta kebangsaan itu menawarkan hadiah keseluruhan RM30,000.

Selain peserta seluruh negara, kejohanan turut melibatkan peserta dari Filipina, Thailand, Indonesia, India, China, Jepun, Mongolia dan Iran.

“Litar perlumbaan di kompleks Sukan, Gong Badak telah diubah suai dan dinaik taraf menjadi litar bertaraf antarabangsa bagi membolehkan kejohanan itu diadakan.

“Kemudahan sepanjang 1.3km dan mempunyai landskap yang cantik serta menarik, merupakan satu-satunya litar bertaraf antarabangsa yang ada di negara ini, “ katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, petang ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi mamat.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata kejohanan anjuran Kerajaan Terengganu dengan kerjasama kelab Sukan Bermotor Maju Selangor/ Wilayah persekutuan itu diiktiraf oleh Persatuan Automobil Malaysia (AAM) dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).