Halaman

26 June 2011

MBKT sasar pendapatan RM50j

Oleh: Aida Abd Rahman



Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mensasarkan kutipan hasil keseluruhan sebanyak RM50 juta sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar MBKT, Dato’ Adzlan Mohd Dagang, berkata sasaran itu dibuat berdasarkan perolehan yang menggalakkan berjumlah RM38 juta pada tahun lalu.
"Sehingga kini, dalam tempoh setengah tahun hasil yang mampu dikutip tidak sampai separuh daripada sasaran yang ditetapkan, bagaimanapun kita yakin ia dapat dicapai.

“Kutipan lainnya melalui pembayaran cukai pintu yang lazimnya dibuat pada bulan Ogos kerana selepas Ogos mereka akan didenda. Kita akan memastikan penduduk membayar cukai pintu sekaligus meningkatan pendapatan MBKT," katanya ketika sidang media semasa program MBKT Bersama Media di Kelab Eksekutif MBKT, di Batu Buruk, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, pertambahan hasil yang diperolehi MBKT membolehkan lebih banyak kemudahan dibangunkan untuk meningkatkan keselesaan warga bandar raya.

Selain itu, MBKT turut mensasarkan pertambahan hasil bagi kutipan letak kereta termasuk saman yang dikeluarkan bagi tujuan itu kepada RM1.5 juta menjelang hujung tahun ini.

Dato’ Adzlan berkata, pada tahun lalu MBKT berjaya membuat kutipan RM4 juta, berbanding dua tahun lalu sebanyak RM1 juta dapat dikumpul.

Sementara itu, pada tahun ini MBKT mensasarkan kutipan sebanyak RM5.5 juta.

Beliau berkata, pihaknya mengeluarkan hampir 10,000 saman pada setiap bulan namun, hanya separuh daripada nilai tersebut dibayar oleh pengguna setakat ini.

"Bagi memastikan matlamat ssaran kutipan itu tercapai, kita akan terus menggerakkan penguatkuasa dan pegawai MBKT," katanya.

Pada masa yang sama, dalam usaha memastikan orang ramai membayar saman, MBKT bukan sahaja bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan, malah turut membuka kaunter pembayaran di pejabat daerah, bank serta pejabat pos.