Halaman

04 June 2011

Nelayan perlu pertahan kerajaan

Oleh; Esah Abdullah


Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee.

Kerajaan menyediakan banyak bantuan dan sokongan kepada golongan nelayan di seluruh negara untuk meningkatkan sara hidup diri dan keluarga.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Haji Mohd Jidin Shafee berkata, usaha kerajaan berterusan bagi memastikan golongan ini pelbagaikan sumber pendapatan dan tidak bergantung kepada aktiviti di laut saja.

“Golongan nelayan perlu menyokong dan pertahan kerajaan hari ini agar nasib mereka terus terbela pada mada akan dating,” katanya, di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Nelayan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ahmad, Losong Kuala Terengganu.

Katanya, mereka dan keluarga boleh membabitkan diri dalam bidang lain di mana kerajaan banyak menyediakan peluang termasuk berniaga, mengusaha kraftangan dan makanan ringan.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato’ Seri Noh Omar. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Ashaari Idris dan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Katanya, terdapat lapan ribu nelayan yang tersenarai sebagai penerima bantuan sara hidup di negeri ini dan mereka adalah nelayan tradisional yang kebanyakkannya bergantung hidup pada laut semata-mata.

“Kita harap mereka dapat majukan diri dan keluarga dan rebut peluang yang kerajaan sediakan dengan saja bidang yang boleh mendatang hasil termasuk berniaga secara kecil-kecilan,” kata Ahli Parlimen Setiu.

Dato’ Mohd Jidin juga mengingatkan semua nelayan terus menyokong kepimpinan kerajaan sekarang yang sentiasa menyalurkan bantuan untuk memastikan golongan ini dapat menikmati kehidupan yang selesa.

“Kita perlu bersyukur dan berterima kasih kepada orang yang banyak membantu dan memberi pertolongan ketika kita dalam kesusahan, kerana selepas ini banyak lagi peluang yang akan diberi,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 500 nelayan dari PNK Kuala Terengganu Selatan menerima elaun sara hidup RM200 seorang yang disampaikan oleh Dato’ Seri Noh Omar.