Halaman

06 June 2011

Pelancong ambil peluang bercuti di Terengganu

Foto dan berita: Suriati Ali



Pelancong luar Terengganu dan pengunjung tempatan mengambil kesempatan menghabiskan waktu cuti sekolah bersama keluarga dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik di Terengganu.

Antara destinasi yang menjadi tumpuan termasuk, Pantai Batu Buruk, Taman Shahbandar, Muzium Negeri Terengganu, Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu; Taman Reakreasi dan Mini Zoo Bukit Takal, Kemaman dan beberapa pulau di negeri ini.

Pihak berkaitan turut menganjurkan pelbagai program seperti Fiesta Waterfront di Taman Shahbandar, Karnival Juala Murah di Pantai Batu Buruk dan Pesta Buku di Pusat Dagangan Terengganu Jalan Hiliran, Kuala Terengganu semata-mata menarik minat pengunjung.

Tinjauan Teganukita di Pasar Besar Kedai Payang, Taman Shahbandar dan Batu Buruk mendapati orang ramai terpaksa berhimpit ketika ingin membeli barangan dan produk yang mereka minati.

Kebanyakan pelawat dari Kedah, Melaka, Johor, Pahang dan Selangor itu membeli pakaian, rantai kunci dan pelbagai produk yang mempunyai indentiti Terengganu untuk dihadiahkan kepada saudara dan dijadikan sebagai dikenang-kenangan.

Pengunjung dari Melaka, Puan Zaiton Zainudin, 38, gembira dapat berkunjung ke Terengganu bersama-sama keluarga kerana terdapat pelbagai kemudahan dan destinasi menarik yang boleh dilawati.

Katanya, destinasi paling menarik adalah TTI dan Pantai Batu Buruk yang sememangnya menjadi lokasi pilihan bagi pengunjung setiap kali mengunjungi Terengganu.

“Tempoh tiga hari dua malam yang diambil untuk bercuti di negeri ini tidak cukup buat kami sekeluarga kerana banyak lagi destinasi lain belum sempat dilawati termasuk Tasik Kenyir, Hulu Terengganu dan Pulau Redang, Setiu.

“Pada masa akan datang kami bercadang mengambil cuti panjang untuk melepaskan hasrat melawat destanasi itu,” katanya.

Encik Kamaruddin Idrus berasal dari Selangor, berkata dia dan keluarga datang ke Terengganu kerana dua tujuan iaitu menghadiri majlis perkahwinan saudara dan bercuti.

Katanya, dari Merang dia terpaksa melalui kesesakan lalu lintas lebih satu jam sebelum tiba ke PBKP dan Taman Shahbandar untuk membeli-belah dan bersiar-siar.