Halaman

25 June 2011

Pengawal awasi pantai dan pulau

Oleh; Esah Abdullah



Kerajaan akan pastikan orang ramai yang berkunjung ke pantai dan pulau di negeri ini merasa selesa dan selamat kerana setiap gerak geri mereka sentiasa di awasi oleh pengawal pantai yang ditugaskan menjaga keselamatan pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Warisan negeri, YB Datuk Haji Abdul Rahin Mohd Said berkata, melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Terengganu (JPAMT) khidmat pengawal pantai ini diwujudkan bagi menjaga kepentingan orang ramai.



Katanya, usaha JPAMT memberi impak besar dalam membentuk imej negeri yang sedang berusaha meningkatkan industri pelancongan dengan pelbagai promosi untuk menarik pengunjung dari luar datang ke negeri ini.

“Setakat ini, Pantai Bukit Keluang, Besut, Pulau Redang, Kuala Terengganu dan beberapa lagi kawasan tumpuan pelancong mendapat khidmat sukarelawan pantai yang bertugas terutama pada hujung minggu,” katanya di majlis Pelancaran Pengawal Pantai di Laguna Redang Island Resort.

Katanya, bagi pusat pelancongan di kawasan pantai atau pulau, JPAMT sedia bekerjasama dengan pihak hotel dan resort memberi peruntukan lima peratus daripada kos penyediaan alat keselamatan selain melatih pengawal pantai setiap kawasan.

Beliau yakin dengan kemudahan yang disediakan itu akan memberi keselesaan kepada pelancong dari dalam dan luar negara untuk membawa keluarga bersiar-siar di pulau dan persisir pantai di negeri ini.



Selain pengawal katanya, menara penyelamat pantai di taman laut juga didirikan bagi mengawal selia aktiviti di kawasan pantai dan mengambil tindakan segera jika berlaku keadaan yang boleh mengancam nyawa pengunjung.

“Dengan kerjasama semua pihak akan mendatangkan impak positif kepada industri pelancongan sejajar dengan hasrat kerajaan menjadikan negeri ini terkenal di serata dunia,” katanya.