Halaman

15 June 2011

Pensyarah UniSZA raih Anugerah Berinovasi Tinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Penyelidikan bertajuk `Robust Diagnostic F for the Identification of Outliers in the Fixed Effect Panel Data Model' yang dihasilkan seorang pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), berjaya meraih Anugerah Penyelidikan Berinovasi Tinggi pada Seminar Kebangsaan Pasca Siswazah Statistik, Institut Statistik Malaysia (ISM),baru-baru ini.



Pensyarah berkenaan,Puan Nor Mazlina Abu Bakar, 39, berasal dari Kampung Kuala Ibai, Kuala Terengganu menghasilkan penyelidikan itu bersama Pensyarah Institut Penyelidikan Matematik, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Habshah Midi.
Puan Nor Mazlina berkata, penyelidikan itu merupakan sebahagian daripada penyelidikan peringkat Doktor Falsafah (PhD) beliau dengan Dr. Habshah yang juga bertindak sebagai penasihat pengajian PhD beliau.

"Penyelidikan yang kami hasilkan adalah penggabungan kaedah statistik teguh dan kaedah diagnostik bagi mengenal pasti data-data terpencil.

"Hasil penggabungan kedua-dua kaedah itu ternyata mempunyai impak yang besar dan berjaya menarik perhatian panel hakim dalam seminar itu," katanya.


Menurut Nor Mazlina, kajian yang lebih mendalam sedang dijalankan bagi menambah baik hasil kajian sedia ada dan seterusnya mengaplikasikannya dalam bidang ekonometrik.

"Dengan anugerah berkenaan, ia akan dikongsi bersama dengan penuntut di UniSZA sebagai panduan dalam penyelidikan pelbagai bidang statistik dan memberi lebih pendedahan tentang penggunaan ilmu itu dalam industri.

"Ia juga selaras dengan peranan UniSZA untuk melahirkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam pelbagai disiplin ilmu," katanya.

Program ilmu anjuran ISM itu diadakan di Pusat Asasi Sains, Universiti Malaya yang turut disertai hampir 300 peserta lain termasuk dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia dan Universti Teknologi Mara.

Seminar bertema Memperkasakan Ahli Statistik dalam Membuat Keputusan bertujuan menyediakan satu platform bagi ahli akademik dan pemain industri berkongsi penyelidikan dalam bidang berkenaan.