Halaman

19 June 2011

Sedia kemudahan untuk anak-anak yatim

Oleh: Suriati Ali

Kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas 10 hektar di Pulau Kerengga Marang bagi membolehkan Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) membina pusat latihan dan pelbagai infrastruktur lain untuk kepentingan anak-anak yatim.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pihaknya yakin dengan kelulusan tanah ini ia mampu meningkatkan kualiti pembelajaran penghuni selain menambah pendapatan yang diperoleh hasil daripada ladang kelapa sawit dan anak-anak syarikat yang lain.

Katanya, sebelum ini seramai 145 penghuni di asrama Perkaya berjaya dalam pendidikan iaitu 132 orang sudah bergelar ijazah muda,12 pemegang ijazah sarjana dan seorang usahawan Berjaya.

“Saya percaya Perkaya sentiasa dicabar kewibawaannya terutama bagi meneruskan dan merencanakan pelbagai program menjurus kepada peningkatan kualiti untuk anak-anak yatim.

“Cabaran ini pastinya memerlukan kebijaksanaan dan kecekalan pemimpin bagi menanganinya,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Perkaya kali Ke 25, di Ibai Golf & Conuntry Club Resort Kuala Ibai, Kuala Terengganu, semalam (18 Jun).

Seramai 42 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) menerima anugerah kecemerlangan pelajar.

Yang Dipertua Perkaya Dato’ Tengku Mahmud Mansor memaklumkan bahawa asrama Perkaya merupakan yang terbaik berbanding 52 asrama anak yatim di seluruh Negara.