Halaman

27 June 2011

TDM giat agih dividen kepada pemegang saham

Oleh: Aida Abd Rahman

Syarikat TDM Berhad akan terus mengagihkan dividen yang memberangsangkan kepada syarikat pemegang saham selaras dengan peningkatan pendapatan syarikat.

TDM berjaya melonjak peningkatan hasil Kumpulan sebanyak 25 peratus dari RM335.6 juta pada 2009 kepada RM420.4 juta bagi 2010.

Sementara itu, keuntungan sebelum cukai turut meningkat sebanyak 67 peratus dari RM77.5 juta pada 2009 kepada RM129.2 juta bagi 2010.

“Peningkatan itu adalah sumbangan dari sektor perladangan yang semakin meningkat dan prestasi lebih baik yang dicapai oleh sektor penjagaan kesihatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Badrul Hisham Mahari, dalam satu kenyataan kepada media, baru-baru ini.

Beliau berkata, Bahagian Perladangan Kumpulan mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM119.5 juta pada 2010, iaitu satu peningkatan sebanyak 73 peratus dari tahun sebelumnya.

Manakala Bahagian Kesihatan pula mencatatkan peningkatan keuntungan sebelum cukai sebanyak 47 peratus (RM11.2 juta).

Dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-46 TDM pada 19 Me lalu, syarikat itu turut mengisytiharkan bayaran dividen lebih tinggi sebanyak 13.5 sen bagi setiap syer biasa di akhir tahun kewangan 31 Disember 2010, berbanding hanya 12 sen pada 2009.

Dalam pada itu, TDM Berhad membayar dividen dan keuntungan terbesar yang diraihnya kepada kerajaan negeri dan agensi lain berjumlah RM28,810,458.17 bagi 2010.

Pengerusinya, Datuk Roslan Awang Chik menyerahkan dividen dan keuntungan itu kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said selepas Mesyuarat Mingguan Exco, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.

Pembayaran dividen itu dibuat kepada Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan agensi lain (RM20,400,362.07) dan Perbadanan memajukan Iktisad negeri berjumlah RM5,412,000.

Agensi lain yang mendapat keuntungan usahasama adalah Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (RM2,861,543.10) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (RM136,553).