Halaman

07 June 2011

Terengganu bakal jadi pengeluar tebu

Oleh: Suriati Ali



Terengganu bakal menjadi negeri pengeluar tebu terbesar di Pantai Timur apabila projek sulung tanaman tebu dilaksanakan di daerah Setiu akhir tahun ini.



Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri YB Asha'ari Idris berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti kawasan seluas 12 hektar di Bukit Munduk Langkap, Setiu untuk tujuan itu.

"Ini projek percubaan dan sekiranya projek ini berjaya kita akan memperluaskan lagi kawasan untuk tanaman itu.

“Kerja-kerja membersih kawasan dan penyediaan prasarana dijangka bermula dalam masa terdekat manakala kerja-kerja penanaman akan dijalankan pada Oktober depan,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melalui kerajaan negeri menyediakan peruntukan awal kira-kira RM150,000 untuk melaksanakan projek itu.

Asha'ari berkata melalui projek percubaan ini, Terengganu dijangka mengeluarkan lebih 100,000 batang tebu semusim dan ia mencukupi untuk keperluan dalam negeri

“Projek itu akan memberi peluang pekerjaan kepada lebih 30 penduduk setempat terutama mereka dikategorikan di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin,” katanya.