Halaman

13 June 2011

Terengganu kuasa sukan negara

Oleh: Suriati Ali



Terengganu boleh dianggap sebagai kuasa sukan negara selepas berjaya meraih kejuaraan tiga kali berturut-turut dalam Sukan Malaysia (Sukma).

Dalam Sukma ke-14 di Kuala Lumpur, Terengganu dinobatkan juara keseluruhan apabila mengumpul 30 emas, sekaligus mengetepikan pencabar terdekat Selangor yang memenangi 26 emas, diikuti Johor 21 emas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Air Putih, YB Haji Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar, berkata beliau cukup bangga dengan atlet Sukma kerana mereka mampu mengharumkan nama Terengganu.



“Terengganu selayaknya digelar sebagai kuasa sukan negara di mana sebelum ini sudah mendapat jolokan sebagai kuasa baru sukan ketika meraih kejayaan dalam Sukma ke 13, di Melaka.

“Tiada ucapan terbaik selain jutaan taniah buat atlet yang bertungkus lumus mencipta kejayaan ini sehingga ke detik terakhir,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Atlet Sukma di Padang Astaka Chukai, Kemaman, petang ini.



Sebelum itu, lebih 1,000 penduduk sekitar Kemaman menyambut kepulangan semua atlet di pintu gerbang sempadan antara Kemaman dan Cendor, Kuantan.

Sebaik tiba, mereka diarak meriah dengan persembahan tarian naga menuju ke Padang Astaka, Chukai, Kemaman.

Pelajar dari sekolah menengah sekitar Dewan Undangan Negeri Chukai turut mengambil bahagian mengadakan persembahan pancaragam sebagai tanda terima buat semua atlet.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Encik Zainal Abidin Hussin, berkata Terengganu memperoleh 65 peratus daripada jumlah keseluruhan pingat emas yang ditawarkan sepanjang kejohanan itu.



Katanya, kejayaan membanggakan ini akan dikekalkan pada Sukma seterusnya dengan mencipta pelbagai rekod lain.

“Sekalung tahniah buat kamu semua atas kejayaan yang membanggakan ini, teruskan usaha untuk mencipta nama Terengganu di persada antarabangsa,” katanya.



Malam ini, majlis Meraikan Pasukan Terengganu Yang Menjuarai Piala FA 2011 dan Kontinjen Terengganu Sukma XIV 2011 akan diadakan di Dataran Shah Bandar, Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman.