Halaman

21 June 2011

Tindakan Pas tolak ulamak makin terselah

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tindakan Pas menolak ulamak dalam kepimpinan parti itu semakin terserlah. Bermula dengan pemilihan pucuk pimpinan Pas Pusat yang menyaksikan beberapa ulamak tersingkir daripada saf kepimpinan barunya, kini ‘penyakit’ tersebut menular pula ke peringkat negeri.

Di Terengganu umpamanya, Dato’ Harun Taib digugurkan daripada jawatan Pesuruhjaya Pas negeri apabila beliau digantikan dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Abdul Wahid Endut.

Untuk rekod, Harun sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat sebelum diamanahkan untuk menerajui Pas Terengganu.

Dalam masalah pelantikan Jawatankuasa Pas Negeri pula, sebahagian besar jawatan tersebut kini dimonopoli golongan pelapis yang bukan ahli agama serta tidak mempunyai latar belakang agama.

Daripada 22 jawatan berkenaan, hanya tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas dilantik sebagai Jawatankuasa Pas Negeri.

Penolakan ulamak dan mereka yang mempunyai latar belakang agama dalam saf kepimpinan Pas peringkat negeri dilihat sebagai usaha menjadikan Pas lebih liberal, sesuai dengan corak pimpinan Pas Pusat.

Kini terbukti, kepimpinan ulamak yang menajdi kebanggaan parti tersebut sejak dahulu lagi makin terhakis dan parti itu sudah menjadi semakin celaru.

Pas kini semakin jauh menyimpang dari perjuangan asal mereka berikutan kebanjiran barisan pelapis yang bukan dari kalangan ahli agama.

Pemimpin Pas terpaksa bertindak sedemikian rupa bagi memastikan parti tersebut boleh berganding dengan rakannya DAP yang cukup anti dengan Islam.

Di manakah kelebihan Pas yang selama ini yang begitu gah melaungkan perjuangan Islam dan bercita-cita melaksanakan hukum hudud di negara ini ?.

Berdasarkan keadaan semasa dalam kepimpinan Pas dan matlamat pemimpinnya yang berjuang untuk menjaga kebajikan rakyat negara ini jika mereka diberi peluang membentuk pakatan dengan parti-parti pembangkang lain, tidak ada makna rakyat menyokong mereka.

Rakyat tidak wajar menyokong Pas yang sudah tidak ada berpendirian, sebaliknya mereka perlu memberi sokongan padu kepada Umno yang sejak dulu hingga sekarang berusaha memartabatkan Islam, secara diam.

Umno melalui Kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa mencari jalan untuk memastikan syiar Islam terus melebar. Umno tidak mengikut resmi ayam, bertelur sebiji riuh sekampung seperti yang dibuat oleh Pas, tetapi Umno mengikut resmi penyu, bertelur seribu tak seorang pun tahu.