Halaman

09 June 2011

YIT hasilkan beratus siri penyelidikan dan penerbitan

Oleh: Aida Abd Rahman / Azwa Shamsuddin (Pelatih UPM)



Yayasan Islam Terengganu (YIT) berjaya menghasilkan beratus-ratus siri penyelidikan dan penerbitan untuk rujukan masyarakat Islam negeri ini sehingga kini.

Terbaru, sebanyak lapan buah siri lagi dilancarkan untuk kegunaan masyarakat khususnya kepada guru agama di masjid dan surau seluruh negeri.

Antara siri penerbitan berkenaan termasuklah Agama dan Pembangunan Perspektif Sosio-Budaya, Agama dan Pembangunan Kontemporari (penulis, Muda @ Ismail Ab Rahman); Agama Yahudi Menurut Perspektif Islam, Ekstremis Agama (Lubahah Hussain); Dadah Dari Perspektif Islam (Dr Hamid Jami’) dan Jihad (Dr Muhammad Na’em Yasin).

Buku-buku yang mengambil kisah dari al-Quran seperti keluarga Yasir, Kisah Tiga Bersaudara dan kebun, lelaki Yang Membeli Dirinya Sendiri, Wanita Yang Mengadu, Pewaris, Satu Komplot, Uzair, Lukman al-Hakim, Hakim Muda dan Habib Si Tukang Kayu.



“Program penyelidikan dan kitab-kitab di bawah YIT merupakan antara beberapa siri program dan aktiviti YIT yang dipengerusikan Ustaz Haji Khazan Che Mat (Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri).

“Usaha ini diharapkan dapat menyalur dan menyebarkan ilmu dan isu-isu semasa yang berkaitan dengan agama dan kemasyarakatan,” kata Pengarahnya, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran kitab Matla’ al-Badrain Wa Majma’ al-Bahrain dan tujuh buku terbitan YIT dengan kerjasama Kerajaan Terengganu, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.

Majlis pelancaran disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Khazan. Turut hadir, Timbalan Pengerusinya, YB Haji Muhammad Ramli Nuh.

Sehingga kini, Haji Md Kamaru berkata, YIT bermatlamat menjadi agensi terunggul dalam peningkatan dan pengembangan syiar Islam bagi meningkatkan olmu dan pendidikan Agama Islam kepada penduduk ke arah mewujudkan ummah yang berakhlak mulia, progresif dan berdaya saing.

Seiring dengan misi tersebut YIT menganjur dan mengadakan kelas Kafa, kelas agama rakyat, dewasa dan belia, kelas al-Quran kampung, kelas berzanji, kelas Pintar al-Quran dan kelas Tadika.

Katanya, YIT turut berperanan memberikan pendidikan agama daripada peringkat prasekolah sehingga dewasa kepada semua rakyat Terengganu yang bertepatan dengan visi dan misi penubuhannya.

Di samping itu, Unit Dakwah YIT mengembangkan dakwah dalam aktiviti-aktiviti seperti qiamullail, usrah, forum perdana, Sahsiah pelajar, ceramah berkala dan perkampungan
dakwah.

Pada masa yang sama, YIT mempunyai dua pengajian pondok moden iaitu Institut Pengajian Islam (INSPI) yang dulu dikenali sebagai MARPA di Kampung Binjai, Kemaman dan Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu.