Halaman

23 July 2011

BN sedia segala kemudahan rakyat – YB Razif

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kerajaan Barisan Nasional (BN) menyediakan segala kemudahan yang diperlukan rakyat negeri ini, termasuk di bidang pendidikan dan ekonomi, kata Ketua Penerangan BN Terengganu, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Malah, katanya, Kerajaan BN sudah terlalu banyak berjasa kepada rakyat dan pemimpinnya terus menabur bakti mereka bagi memastikan mereka mendapat kebajikan dan pembelaan sewajarnya.

“Oleh itu, tidak ada sebab mengapa rakyat negeri ini perlu menjauhkan diri daripada BN. Sepatutnya rakyat perlu dekat dengan BN dan memberi sokongan padu kepada BN agar kita menang besar pada pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen BN Terengganu 2011 di Kediaman Seri Iman malam tadi.

Pengerusi BN negeri yang juga Menteri Besar, Dato’ Haji Ahmad Said, menyempurnakan majlis perasmian konvensyen itu yang bertujuan mengukuhkan jentera BN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU 13).

YB Haji Ahmad Razif konvensyen kali ini bertemakan ‘BN Di Hatiku’ bertujuan mendekatkan BN dengan rakyat bagi memastikan ia mendapat kemenangan yang besar pada PRU13.

“Kita mahu seluruh rakyat Terengganu suka dan cintakan BN kerana BN terlalu banyak berjasa kepada mereka,” ujarnya.



Beliau berkata, Menteri Besar yang menerajui pentadbiran negeri ini telah melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin melalui konsep “Merakyatkan Pentadbiran Dan Pembangunan Negeri”.

Justeru itu, katanya, segala keperluan rakyat diberi keutamaan dan mereka menerima perkhidmatan terbaik daripada kerajaan dalam semua aspek kehidupan.

“Kita mahu slogan ‘BN Di Hatiku’ tersemat di hati setiap rakyat Terengganu dan mereka terus memberi sokongan kepada Kerajaan BN.

“Kita mahu BN mendapat kemenangan pada PRU 13 dan terus memerintah negeri Terengganu agar rakyat mendapat faedah yang berterusan,” ujarnya.