Halaman

25 July 2011

Dua atlet kanu raih insentif tertinggi

Oleh: Aida Abd Rahman

Atlet kanu, Nurul Farahim Wahab, 21, merekod sejarah tersendiri apabila menerima durian runtuh berjumlah RM32,000 daripada kerajaan negeri selepas berjaya meraih enam pingat emas dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) Ke-14 Kuala Lumpur 2011 bulan lalu.

Nurul Farahim turut memecah dua rekod kejohanan pada temasya itu, selain menerima RM5,000 bagi setiap emas yang berjaya dimenanginya.

“Ini adalah hadiah dan sumbangan yang cukup bermakna daripada kerajaan negeri buat saya dan juga atlet lain yang berjaya mengharumkan nama negeri. Saya akan menggunakan duit ini dengan sebaik mungkin selain menyimpannya untuk kegunaan masa depan,” kata atlet berasal dari kampung Kijing, Marang itu.
Sebelum ini, anak kedua daripada empat beradik pernah menerima RM8,000 hasil kemenangan dalam tiga kategori pada Sukma Melaka ke-13 yang lalu.

Majlis penyampaian insentif kemenangan Sukma Ke-14 Kuala Lumpur 2011 disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Noorbahri Baharuddin; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, YB Haji Rozi Mamat; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Zolkples Embong dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Tuan Haji Zainal Abidin Hussin.

Selain Nurul Farahim, Siti Rajiah Ali,21, turut menjadi antara penerima tertinggi pada Sukma kali ini apabila membolot RM30,000 menerusi enam pingat emas yang dikutip sepanjang temasya itu berlangsung.

Pada Sukma edisi lalu, Siti Rajiah merupakan atlet yang menerima insentif tertinggi selepas menggondol tujuh pingat emas yang menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai diterimanya RM35,000. Dia turut mendapat sebuah motosikal Honda Icon 108cc sumbangan peribadi Menteri Besar.

Dua lagi atlet kanu yang turut mendapat habuan masing-masing atas pencapaian gemilang di Sukma lalu, Mohd Syafwatuddin Mohd Azaha (RM20,000) dan Noraishah Yahya (RM17,000).

Selain itu, dua atlet berbasikal, Zahraa Anuawar (RM16,000) dan Ummi Hamimah Mohamad (RM15,000) serta acara mendayung, Mohd Syazwan Abdul Aziz dan Wan Mohd Taufik Mukhtar masing-masing memperolehi insentif RM10,000.

Kesemua habuan yang disampaikan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan kira-kira RM900,000 yang diagihkan sebagai insentif kemenangan sempena temasya Sukma 2011.