Halaman

27 July 2011

Hafiz IQT jadi imam solat terawih di Brunei

Oleh: Aida Abd Rahman

Kelebihan hafiz daripada Institut al-Quran Terengganu (IQT) mendapat perhatian negara jiran apabila golongan itu ditawarkan bagi mengimamkan solat terawih di negara Brunei sempena Ramadan ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said, berkata faktor bayaran yang lebih mahal kemungkinan mendorong golongan itu menerima tawaran bagi menjadi imam di negara itu.
“Ada pelajar dari IQT juga menjadi imam solat tarawih di masjid-masjid negeri kita. Malah, imam kita juga di bawa ke Brunei kerana masing-masing sudah menempah mereka, di samping ada di kalangan hafiz berkenaan yang menjadi imam di tempat kita sendiri,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadan Peringkat Negeri Terengganu dan Pelancaran Dokumentari Syahadah Musim ke-7, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, petang semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, YB Haji Ustaz Khazan Che Mat; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ewal Pengguna negeri, YB Dr A Rahman Mokhtar; Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Dato’ Nohyati Ismail; Pengarah Yayasan Islam Terengganu, Haji Md Kamaru Al-Amin Ismail dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Haji Mohd Rozali Salleh.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, hafiz IQT yang dijemput menjadi imam di Brunei menerima tawaran itu secara persendirian dan tidak melalui kerajaan negeri.

Katanya, kebiasaannya dua hafiz digunakan sepanjang mengimamkan solat tarawih bagi memastikan imam kedua dapat menegur dan membetulkan bacaan imam pertama sekiranya berlaku kesilapan sepanjang solat berkenaan.

Dalam pada itu, kerajaan negeri sedang berusaha menambah imam dari Timur Tengah untuk mengimamkan solat tarawih di masjid seluruh negeri ini.

Sehingga kini, seramai 22 imam dari Timur Tengah masing-masing 14 dari Arab Saudi dan lapan dari Mesir bakal mengimamkan solat tarawih sepanjang Ramadan ini dan mereka dijangka akan tiba di negeri ini tidak lama lagi.

Selain itu, imam dari Mesir merupakan guru bahasa Arab yang mengajar di sekolah-sekolah agama negeri ini kerana selain mengajar mereka mempunyai kelebihan dari aspek ilmu taranum yang baik.

Menteri Besar berkata, pendekatan membawa imam dari Timur Tengah sejak tiga tahun lalu bagi memenuhi permintaan umat Islam di negeri ini yang mahu solat tarawih di masjid kawasan mereka dipimpin golongan itu, selain kehadiran imam berkenaan mampu mengimarahkan lagi masjid seluruh negeri.