Halaman

03 July 2011

Kembara `Fo lo an' tarikan Pekan Budaya Hulu Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman/ Mastura Jamaldin

Kembara `Fo lo an’ yang melibatkan 43 kampung dengan sembilan daripadanya kampung bersejarah serta 122 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang berlangsung semalam (2 Julai) antara tarikan utama sempena Pekan Budaya Hulu Terengganu 2011.

Selain itu, pekan budaya yang bertemakan `Pegawai Daerah di hati JKKK’ mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada semua pihak terutama jabatan dan agensi kerajaan berikutan pertambahan gerai pameran serta jualan.

Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Haji Wan Mohd Wan Ibrahim, berkata sokongan padu serta komitmen daripada jabatan di Hulu Terengganu bagi menjayakan program tahunan itu amat baik dan pihaknya berharap segala kerjasama ini akan berterusan pada masa depan.

“Pekan Budaya ini diadakan pada setiap tahun untuk memperkenalkan budaya kita, kesan sejarah tempatan di samping bekerjasama dengan etua jabatan kerajaan dan swasta bagi menjayakan pekan budaya ini.

“Hubungan kerjasama yang baik antara jabatan dengan masyarakat dapat membantu merealisasikan hasrat kerajaan merakyatkan pentadbiran dan pembangunan Terengganu,” katanya merasmikan Perasmian Pembukaan Pekan Budaya Hulu Terengganu, di Tapak Pasar tani, Kuala Berang, baru-baru ini.

Menurutnya, pameran jabatan dapat membuka ruang dan peluang kepada masyarakat kampung untuk melihat lebih dekat peranan serta perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan yang terlibat.

Malah, program itu juga mampu mengenengah dan mencungkil warisan mahu pun kebudayaan yang menjadi amalan generasi lampau yang kian hilang dari pengetahuan generasi muda hari ini.

“Masyarakat juga harus melihat pekan budaya ini yang diadakan setiap tahun ini mampu memberi banyak impak positif dalam menyemarakkan keamanan, kedamaian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.

“Dengan suasana yang aman serta damai kita mampu merasai nikmat keharmonian bermasyarakat serta membawa kemakmuran kepada penduduk Hulu Terengganu dan seluruh negeri amnya,“ katanya lagi.

Pekan Budaya berlangsung tujuh hari bermula pada 28 Jun hingga 4 Julai, manakala gerai jualan bermula seminggu lebih awal bagi membuka peluang perniagaan dalam tempoh yang lebih panjang kepada penduduk sekitar.