Halaman

26 July 2011

KIK bawa perubahan dalam sektor awam

Oleh: Suriati Ali

Usaha mentranformasi sektor awam memerlukan komitmen tinggi daripada penjawat awam yang bukan sahaja memahami realiti semasa tetapi mempunyai keberanian membuat perubahan luar biasa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah, berkata pendekatan ini dapat dilakukan dengan syarat setiap penjawat awam itu memberi perkhidmatan terbaik secara kerja berpasukan.

“ Di samping itu, prinsip kepantasan bertindak dengan keputusan yang tepat menerusi perubahan pemikiran dan kaedah bekerja, seiring dengan inovasi dan pembahuruan berterusan perlu diserapkan ke dalam diri masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini (26 Julai).

Sebanyak 17 pasukan daripada pelbagai agensi kerajaan di seluruh Terengganu menyertai pertandingan yang diadakan selama dua hari dan bermula 25 Julai itu.

Johan bagi kategori pengurusan dimenangi Jabatan Farmasi, Hospital Sultanah Nur Zahirah dan naib johan pula Unit Patologi, Hospital Kemaman.

Manakala johan bagi kategori teknikal diungguli Pejabat Perkhidmatan Pergigian Daerah Kemaman dan naib johan (Hospital Setiu).

Dato’ Haji Mazlan turut memberitahu bahawa sepanjang pengamatan terhadap kumpulan yang terlibat dengan KIK, didapati banyak masalah kerja terutama berkaitan pembaziran kos, kelewatan sistem dan kelemahan penyelenggaraan dapat di atasi secara sistematik.

Katanya, apa yang jelas melalui penemuan teknik-teknik baru, ia mampu menghasilkan suatu sistem penyampaian kerja berkualiti dan anjakan kerja berganda terutama berkaitan kehendak pelanggan.

“KIK kini berjaya membuktikan kemampuan menghasilkan penyelesaian masalah kerja, mencari peluang penambahbaikan proses sedia ada atau perkhidmatan baru secara kreatif dan inovatif.

“Mereka lebih berani mencabar minda untuk menghasilkan lebih banyak kaedah baru berkaitan pengurusan dan menghasilkan pelbagai rekacipta moden dan terkini,” katanya.

Menurutnya, sokongan padu pihak pengurusan juga perlu bagi mendorong anggota organisasi ke arah berfikiran secara krisis dan konsuktif dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah.

“Oleh itu, apa-apa perubahan positif dalam sistem dan prosedur, kaedah dan cara bekerja perlu diberi pengiktirafan yang sewajarnya,” katanya.