Halaman

31 July 2011

Komitmen NGO laksanakan transformasi

Oleh: Aida Abd Rahman

Negara memerlukan komitmen Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi melaksanakan transformasi serta meminggirkan budaya lapuk sambil meneroka bidang baru melalui kekuatan iltizam dan perubahan dalam cara berfikir mahupun bertindak.

Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Dato’ Wan Ahamad Wan Muda, berkata dalam menongkah arus transformasi, cabaran yang dihadapi pada masa ini amat berat khususnya dalam mewujudkan perkhidmatan bersepadu serta meningkatkan prestasi secara menyeluruh.

“Sementara dari perspektif jabatan, sudah pasti kita perlu bertanya ke dalam diri kita sejauh manakah kita telah berperanan dan berfungsi sebaiknya dalam berkhidmat untuk negara,” katanya ketika berucap di Program Taklimat Pembangunan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu 2011, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, dalam memberikan perkhidmatan, ideologi dan cara pendekatan setiap individu mungkin berbeza, bagaimanapun, setiap individu itu perlu berpegang dengan prinsip profesional dan berintegriti dalam kerjaya masing-masing.

Beliau berkata, masyarakat sentiasa menuntut setiap NGO serta agensi kerajaan menunjukkan nilai-nilai yang terbaik serta mengamalkan integriti paling tinggi.

“Saya suka mengingatkan bahawa tiada tempat dalam perkhidmatan awam ataupun agensi lain bagi mereka yang tidak berintegriti, dengan mengambil jalan mudah untuk mengumpul kekayaan dengan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya.

“Namun demikian, integriti bukan bermaksud penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa semata-mata,” katanya.

Menurutnya, integriti sangat komprehensif dan meluas yang merangkumi aspek pengurusan masa,memberikan perkhidmatan terbaik, menyampaikan maklumat, membuat keputusan serta berintegriti dalam komunikasi dengan ketua jabatan, rakan sekerja serta pelanggan.