Halaman

27 July 2011

Komunikasi, tegur sapa amalan ke-21 dalam konsep `30 S’

Oleh: Aida Abd Rahman


Dato' Haji Mazlan Ngah berucap di hadapan kakitangan Wisma Darul Iman ketika majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan April hingga Jun 201. - Foto: Harish Fadzillah.

Kerajaan negeri memperkenalkan `10 S’ lagi bagi menambah konsep `20 S’ yang sedia ada dalam usaha terus memperkasa dan meningkatkan mutu perkhidmatan awam di Terengganu.

Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah, berkata S berkenaan adalah sapa, sederhana, sedar, serius, segak, segar, segera, sejahtera, selalu dan S yang ke-30 serta terakhir, selamat.
Katanya, `sapa' membawa maksud setiap pegawai dan kakitangan harus sentiasa berkomunikasi dan bertegur sapa antara satu sama lain bagi memastikan tugas yang dilaksanakan lancar serta mencapai tahap yang dikehendaki jabatan.

“Kita perlu ada hubungan yang baik dan sentiasa berkomunikasi kerana hubungan dua hala itu mampu membentuk budaya kerja yang lancar dalam usaha meningkatkan perkhidmatan awam di negeri ini,” katanya ketika berucap di majlis Perhimpunan dan Anugerah Khidmat Cemerlang Bulanan Peringkat Wisma Darul Iman Bagi Bulan April hingga Jun 2011, di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.



Dato' Mazlan berkata, S yang seterusnya adalah `sederhana’ , iaitu setiap kakitangan awam dituntut sentiasa membentuk sikap besederhana dalam pelbagai aspek. Bagaimanapun, dalam menjalankan tugas perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh dan bersemangat.

Manakala S yang ke-23, `sedar’ yang menuntut setiap penjawat awam memuhasabah, menginsafi dan menyedari hakikat sebenar kehidupan masing-masing sekaligus melakukan tugas dengan jujur dan amanah.

“S yang ke-24 adalah `serius ‘ iaitu member tumpuan, peka dan sentiasa bersedia dengan tanggungjawab yang ada. Pada masa yang sama, kita juga harus cepat bertindak dan tekun melakukan tugas yang diamanahkan.

“Amalan seterusnya adalah `segak’ iaitu kakitangan awam perlu tampil kemas, gagah dan bergaya bagi lelaki, manakala wanita pula perlu menonjolkan penampilan dan identiti yang kemas, menawan dan menarik,” katanya.

Empat S berikutnya, iaitu `segera’ merujuk kepada melaksanakan tugas dengan cepat dan tanpa melengah-lengahkan masa, diikuti `sejahtera’ pula perlu berada dalam keadaan yang aman, tenteram, senang hati selain fizikal yang sentiasa sihat serta sempurna.

Manakala `selalu’ merujuk kepada kakitangan awam perlu sentiasa atau seringkali mengulangi tugas dipertanggungjawabkan itu supaya dapat mencapai kemahiran serta tahap yang dikehendaki ketua jabatan masing-masing.

Sementara S yang terakhir `selamat’, iaitu sentiasa melakukan tugas dengan berhati-hati dan mengutamakan keselamatan bagi mengelak risiko mahupun kejadian yang memudaratkan sepanjang menjalankan tugas.



Dalam majlis itu, seramai 15 kakitangan menerima anugerah khidmat cemerlang bagi tempoh tiga bulan bermula April lalu. Antara penerima anugerah itu termasuk pemberita Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Puan Suriati Ali; Pembantu Tadbir (kewangan) Unit Pengurusan Maklumat Negeri, Puan Ruzita Awang; pembantu tadbir di Pejabat Pengurusan Sumber Manusia, Encik Mohamad Abdullah dan Engku Nor Asmah Engku Abd Rahman (Pembantu Tadbir di Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (Upen)).

Penerima lain, Encik Razali Jusoh (Penolong Pegawai Tanah di Pejabat Tanah dan Galian Terengganu), Puan Azmiah Othman (Pembantu Tadbir di Upen) dan Encik Mohd Halimie Mohd Hamzah (Pembantu Tadbir di Pejabat Sumber Manusia). Kesemua penerima anugerah menerima wang tunai RM500 setiap seorang dan sijil penghargaan.