Halaman

05 July 2011

MB solat hajat mohon program lancar

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan pegawai kanan kerajaan mengadakan solat hajat dan tahlil bagi memohon kepada Allah s.w.t agar Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama tiga hari mulai Khamis ini (7 Julai), berjalan lancar.



Majlis tersebut yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Terengganu, Ustaz Aizi Saidi Abd Aziz, diadakan di Kediaman Seri Iman, Batu Buruk, malam tadi.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Haji Abdul Razak Ismail; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato’ Haji Wan Ahamad Wan Muda; Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan (Exco), wakil-wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan.



Majlis berkenaan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, solat hajat, bacaan Surah Yaasin dan tahlil dan berakhir dengan solat Isyak berjemaah.

Sempena program berkenaan turut diadakan kejohanan sukan mulai 7 Julai hingga 9 Julai, yang disertai 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Menteri Besar akan merasmikan program berkenaan kira-kira jam 8.30 pagi esok manakala Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak akan menyempurnakan majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pada sebelah petang, 9 Julai.