Halaman

09 July 2011

Pasar tani wanita pertama di Terengganu

Oleh: Aida Abd Rahman

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mengambil beberapa langkah untuk meningkatkan pendapatan peserta Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Terengganu, termasuk menggalakkan mereka menceburi bidang perniagaan.

Pengarah Fama negeri, Encik Hasan Jusoh berkata Fama dengan kerjasama AIM mewujudkan sebuah pasar tani wanita untuk peserta-peserta AIM di Kuala Telemong, Hulu Terengganu awal Jun lepas.

"Ini merupakan pasar tani wanita yang pertama di Terengganu dan mungkin juga di negara ini," katanya.

Pada masa ini, Encik Hasan berkata seratus peratus peniaga di pasar tani itu terdiri daripada peserta AIM dan kebanyakan mereka mempunyai pengalaman asas dalam bidang perniagaan.

Beliau berkata, Fama membantu peserta-peserta pasar tani itu dengan menyediakan kemudahan asas seperti khemah di samping memberi bimbingan dalam bidang perniagaan manakala AIM pula membantu daripada segi kewangan.

Encik Hasan berkata, Fama memilih kawasan Kuala Telemong untuk mewujudkan pasar tani itu kerana ia merupakan salah satu daripada tiga pusat pertubuhan ekonomi desa di Hulu Terengganu.

Beliau berkata pasar tani wanita itu mungkin dikembangkan ke daerah-daerah lain bagi membolehkan peserta AIM berniaga, sekaligus meningkatan pendapatan keluarga.