Halaman

03 July 2011

Perhimpunan haram bersih alih perhatian kes liwat Anwar

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang yang dijadualkan pada 9 Julai ini dirancang khusus oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bagi mengalihkan perhatian terhadap kes liwat beliau.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, YB Haji Zulkifli Noordin, berkata pemimpin pembangkang itu akan dipanggil membela diri di mahkamah pada 16 Julai di mana dia berasa tidak ada peluang untuk bebas daripada tuduhan liwat melibatkan bekas pembantu peribadinya.

“Justeru itu, Anwar merancang mengadakan perhimpunan haram itu dan mahu menimbulkan huru hara dalam negara dan menjatuhkan kerajaan sedia ada supaya kes beliau ditutup,” katanya pada majlis ceramah di Flat Bukit Kecil, malam tadi.

Ceramah tersebut diadakan sempena Program Sehari YAB Menteri Besar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang.

Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahamd Said dan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Haji Zulkifli berkata, jika diteliti sejarah politik tanah air, tidak ada sebab Perhimpunan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Besih) mahu mengadakan perhimpunan tersebut kerana pilihan raya di negara ini dilakukan secara telus dan bersih.

“Cuma jika ada sedikit kecacatan dalam proses pilihan raya, ia boleh diperbetulkan dengan cara mengadakan perbincangan dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Beliau berkata, jika berlaku penipuan besar dalam proses pilihan raya di negara ini, mana mungkin parti pembangkang dapat memenangi lima buah negeri pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Pada masa yang sama, katanya, pihak pembangkang mampu menenangi banyak pilihan raya kecil kerana pilihan raya di negara ini dilakukan secara adil.

Bagaimanapun, disebabkan ketokohan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak memimpin negara hingga berjaya memulihkan kepercayaan rakyat kepada Umno dan Barisan Nasional (BN), Anwar berasa kedudukan beliau dan parti-parti pembangkang telah tergugat.

Katanya, ditambah dengan kes video seks dan liwat yang berlaku ke atas Anwar, pemimpin pembangkang itu terdorong untuk menganjurkan perhimpunan haram pada 9 Julai ini.