Halaman

08 July 2011

Produk Terengganu jadi tarikan

Oleh: Suriati Ali

Usaha membuka gerai jualan di lokasi kejohanan Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 mampu mempromosikan pelbagai produk Terengganu secara dekat kepada peserta program itu.

Peniaga perlu bijak mempromosi produk masing-masing supaya dapat menarik minat pembeli yang kebanyakannya terdiri daripada tetamu luar Terengganu termasuk Sabah dan Sarawak.

Pengusaha gerai yang juga Ahli Jawatankuasa Lembaga Kebajikan Perempuan Islam (LKPI), Marang, Puan Rosmaini Mohd Jantan, berkata dia dan beberapa rakan niaga lain berasa cukup bertuah kerana diberi peluang berniaga di tapak program itu.

“Saya mengambil peluang sepenuhnya untuk mempromosi barangan jualan seperti keropok, bahulu, dodol daun palas, kerepek pisang dan kerepek ubi kepada pelanggan,” katanya.

Peniaga produk batik dan sutera, Cik Noraime Mohd, berkata program seperti ini sewajarnya diteruskan kerana dapat mempromosi pelbagai produk secara dekat kepada pelanggan.
“Mereka tidak perlu pergi jauh dari lokasi kejohanan kerana semuanya boleh didapati di sini seperti pakaian sutera, kain batik dan makanan tradisional,” katanya.

Pengusaha kedai emas, Puan Mahani Mohamed, berkata dia tidak akan melepaskan mempromosi barangan jualan kepada peserta yang sememangnya mempunyai kuasa beli yang tinggi.