Halaman

03 July 2011

Raptai program tahunan isteri wakil rakyat BN Se-Malaysia

Oleh: Aida Abd Rahman



Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud turun padang bagi menyaksikan majlis raptai sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini.

Dato’ Seri Haji Ahmad dan To’ Puan Seri Norliza yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) meluangkan masa lebih empat jam bagi memastikan Terengganu selaku hos bagi program yang diadakan 15 tahun sekali di setiap negeri itu berjalan lancar dan berlangsung dalam suasana meriah.



Turut hadir di majlis raptai, Setiausaha Kerajaan negeri, Dato’ Mazlan Ngah; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Dato’ Adzlan Dagang; Ketua Polis negeri,Senior Asisten Komisioner I, Datuk Jamshah Mustafa; Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan) Dato’ Wan Ahamad Wan Muda dan Pengarah Unit Komunikasi Negeri, Haji Shamsuddin Sulong.

Menteri Besar dan isteri kelihatan meninjau setiap aspek perjalanan di sepanjang raptai, malah turut memberi pandangan bagi memastikan program yang bakal menghimpunkan 600 peserta daripada 14 kontinjen dari kalangan isteri wakil rakyat BN itu mencapai matlamat penganjuran.

Majlis perasmian program dijangka akan disempurnakan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad, di Stadium Negeri, pada 7 Julai, kira-kira jam 8 pagi .

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan menteri (Bakti), Datin Paduka Seri Rosmah Mansor serta Naibnya, Puan Sri Hajah Norainee Abd Rahman turut dijadualkan ke majlis perasmian program itu.

Sementara Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak pula dijangka akan menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan badminton serta tenpin boling di Stadium Negeri, pada 9 Julai, kira-kira jam 2 petang.

Perdana Menteri juga akan menyempurnakan majlis penutup program pada Malam Sentuhan Songket di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, pada 9 Julai, kira-kira jam 8.30 malam.

Program tahunan bermula 6 hingga 9 Julai itu bakal diisi dengan pelbagai atucara menarik termasuk Makan Malam Ulek Mayang, pertunjukan fesyen oleh anak-anak Serikandi dan pertunjukan songket pada Malam Sentuhan Songket .