Halaman

05 July 2011

Serikandi anjur program tahunan

Oleh: Suriati Ali


Menteri Besar menyaksikan majlis raptai sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat BN Se-Malaysia di Stadium Negeri, Kuala Terengganu, pagi ini. - Foto: Harish Fadzillah.

Sembilan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional dari pelbagai negeri di jangka tiba di Terengganu secara berperingkat-peringkat bermula hari ini.

Manakala tiga lagi pertubuhan lagi termasuk, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) dijangka tiba awal pagi esok (6 Julai).

Kedatangan pertubuhan itu bagi menyertai Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama empat hari dan berakhir 9 Julai ini.


Setiap ahli pertubuhan akan menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Terengganu (Serikandi) selaku tuan rumah.


Antaranya termasuk kejohanan badminton, boling, perlawanan classic plate, persembahan Ulek Mayang dan Malam Sentuhan Songket.

Majlis pembukaan program akan disempurnakan Menteri Besar Dato’ Seri Haji Ahmad Said pada 7Julai jam 8.30 pagi di Stadium Negeri, Kuala Terengganu.



Manakala Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Badminton dan Boling di Stadium Negeri, Kuala Terengganu serta Malam Sentuhan Songket (malam penutup) di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam akan disempurnakan Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak.