Halaman

04 July 2011

Serikandi gigih berlatih badminton

Oleh: Kamarudin Mat Akib



Kontinjen pasukan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Negeri Terengganu (Serikandi) gigih berlatih badminton di Stadium Negeri, menjelang kejohanan sukan sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Se-Malaysia 2011 yang akan berlangsung di Terengganu selama tiga hari mulai Khamis ini (7 Julai).

Tinjauan Teganukita hari ini mendapati Yang Dipertua Serikandi, To’ Puan Seri Hajah Norliza Mahmud yang juga ketua kontinjen Terengganu, giat berlatih bersama-sama anak buah beliau di bawah bimbingan seorang jurulatih.

Kejohanan sukan berkenaan akan diadakan mulai 7 Julai hingga 9 Julai dan disertai 14 pasukan dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.



Pasukan Serikandi dibarisi 12 pemain badminton dan dibimbing Syed Abu Bakar Syed Ali manakala pasukan boling pula disertai 10 pemain.

Dua piala utama menjadi rebutan dalam kejohanan sukan berkenaan iaitu Piala Perdana 1Malaysia (badminton) dan Piala Kejohanan Boling.

Perdana Menteri Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijadualkan hadir untuk majlis penutup serta menyampaikan hadiah kepada pemenang pada sebelah petang, 9 Julai.

Acara penutup program berkenaan yang dinamakan Malam Sentuhan Songket, bakal diadakan di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, pada sebelah malam.

Bagi acara tersebut, Perdana Menteri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dan Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad; Said, akan hadir sama bagi memeriahkan majlis.