Halaman

04 July 2011

Tanaman padi di kawasan terbiar

Oleh; Esah Abdullah

Seluas 1,300 hektar kawasan terbiar di Marang dan Kuala Terengganu akan dibangunkan dengan projek tanaman padi yang bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, YB Haji Asha’ari Idris berkata, setakat ini 700 hektar kawasan terbiar di kenal pasti di Marang dan 600 hektar lagi di Kuala Terengganu.

Katanya, kerajaan sedang berusaha untuk memenuhi 70 peratus keperluan padi rakyat di negeri ini dengan membangunkan semua kawasan terbiar dengan tanaman padi.

“Perbincangan dengan jabatan-jabatan terbabit termasuk Jabatan Parit Saliran (JPS), Jabatan Pertanian, Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) dan Pihak Berkuasa Tepatan (PBT) dan pelaksanaan projek dapat dimulakan tahun depan,” katanya.

Katanya, kawasan berkenaan merupakan bekas sawah padi yang terbiar dan memang sesuai untuk projek jelapang padi yang dicadangkan dan ia memerlukan masa bagi persiapan tapak serta pembinaan perparitan.

Sementara itu katanya, projek jelapang padi seluas 400 hektar daripada 600 hektar di Mak Jintan, Setiu berjalan lancar dan mampu memberi pulangan baik kepada peserta.

katanya, kerajaan menyediakan peruntukan RM48 juta bagi menyediakan pelbagai prasarana di kawasan Jelapang Padi Setiu, termasuk pembinaan saliran lain bagi membolehkan petani menanam padi dua kali setahun.

Sehubungan itu, kerajaan juga berusaha untuk meningkatkan pendapatan penanam padi tradisional di negeri ini agar mampu merubah kehidupan keluarga mereka ke arah lebih baik.