Halaman

24 August 2011

77 pegawai KPDNKK Terengganu pantau harga barang

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 77 orang Pegawai Pemantau Harga digerakkan di seluruh negeri bagi membuat pemantauan harga barangan keperluan menjelang hari raya nanti.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr.A. Rahman Mokhtar berkata, seramai tujuh hingga sepuluh orang pegawai berkenaan akan ditempatkan di setiap daerah.

"Kami melantik pegawai-pegawai berkenaan bagi memastikan para peniaga dipantau agar tidak menaikkan harga barangan keperluan raya dengan mudah sehingga membebankan pengguna.

"Terdapat 19 jenis barangan keperluan yang harganya dikawal dan kami berharap bekalan yang disediakan akan mencukupi sehingga raya nanti," jelasnya ketika ditemui sempena Lawatan dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP), di Pasaraya Giant Kuala Terengganu, semalam.

Pemeriksaan Skim Kawalam Harga Musim Perayaan yang dijalankan adalah untuk menetapkan harga syiling keperluan harian itu akan berterusan selama dua minggu bermula pada 23 Ogos hingga 16 September ini.

Menurut A. Rahman lagi, pemantauan harga barangan tidak hanya dijalankan ketika musim perayaan sahaja, namun ia berterusan sepanjang tahun bagi memastikan tidak ada peniaga yang menaikkan harga barang dengan sewenang-wenangnya.

"Peniaga yang didapati bersalah melanggar arahan yang telah ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan dikenakan tindakan tegas.

"Mereka yang melanggar peraturan ini akan didenda dibawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," jelasnya lagi.

A. Rahman berharap para peniaga akan terus mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dan tidak mengambil sebarang kesempatan keatas pengguna.

“Bekalan makanan sepanjang bulan perayaan nanti cukup untuk menampung keperluan pengguna dan jika terdapat sebarang masalah pihak jabatan akan terus berhubung dengan pembekal bagi memastikan hal itu dapat ditanggani,” ujarnya.