Halaman

23 August 2011

Dana Khas RM1.7 billion dibayar secara berperingkat

Oleh: Suriati Ali

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said memberitahu Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), semalam (22 Jun) bahawa Kerajaan Pusat bersetuju membayar balik Dana Khas dari Royalti Petroleum Terengganu sebanyak RM1.7 billion termasuk RM770.344 juta yang digunakan Syarikat Perumahan Negara Berhad untuk perlaksanaan projek itu di negeri lain dan Terengganu.

Katanya, jumlah itu sebahagian daripada RM2.1 billion yang dituntut kerajaan negeri dengan Kementerian Kewangan bagi wang royalti itu.

“Kerajaan negeri juga sedang berbincang untuk menyelesaikan beberapa isu bagi memuktamadkan baki RM400 juta lagi daripada jumlah sebenar RM2.1 billion seperti yang dituntut.

“Setakat ini, Kerajaan Pusat bersetuju membayar RM770.334 juta wang Dana Khas royalti Petroleum yang digunakan SPNB,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Haji Hadi Awang (PAS- Rhu Rendang).

Menurutnya, pada masa sama, Kerajaan Pusat bersetuju membayar sebanyak RM1.7 billion dan RM400 juta lagi masih peringkat pertimbangan.

“Kerajaan negeri sudah berunding dan bersetuju bayaran itu dibuat secara berperingkat-peringkat daripada jumalah RM1.7 billion itu sebanyak RM200 juta setahun.

“Kita juga menerima berita baik bahawa bayaran pertama RM200 juta sudah diterima dan dimasukkan ke dalam bank,” katanya.