Halaman

24 August 2011

Hotel tiga bintang di Tasik Kenyir

Oleh FAUZI MOHD

Pembinaan hotel 200 bilik bertaraf tiga bintang di Pulau Bayas, Tasik Kenyir yang bermula bulan depan bakal memberi impak besar kepada industri pelancongan di tasik itu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said berkata, usaha yang dirintis telah mula menyakinkan sektor swasta untuk bersama-sama membangunkan dengan kos pelaburan keseluruhan dijangka mampu mencecah RM1 billion.

Katanya, Kerajaan Negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) selaku agensi peneraju pembangunan tasik itu telah menggerakkan usaha awal bagi memastikan ia dapat disiapkan menjelang Ogos 2012 sebagai zon bebas cukai.

“Kerajaan Negeri , Ketengah serta agensi-agensi lain optimis bagi memastikan Tasik Kenyir menjadi destinasi pelancongan unggul," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama kepimpinan UMNO negeri di Primula Beach Hotel, petang semalam.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan kepimpinan UMNO negeri.

Pada majlis itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan duit raya kepada 60 orang anak-anak yatim termasuk 40 pelajar dari Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya), Marang.

Tambah Menteri Besar, kawasan bebas cukai di Pulau Bayas sedang dibangunkan dengan peruntukan awal RM100 juta bagi penyediaan prasarana termasuk pembinaan jeti, kompleks persinggahan dan premis perniagaan.

Katanya, Pulau Bayas merupakan pulau terbesar di antara 340 pulau di dalam tasik yang berkeluasan kira-kira 700 hektar dan daripada keluasan itu, sebanyak 400 hektar akan dimajukan pada peringkat awal projek.