Halaman

09 August 2011

Ketengah Holding catat keuntungan RM35.9 juta

Oleh; Esah Abdullah


Majlis penyerahan zakat Ketengah sebanyak RM973,504.00 oleh Dato' Haji Hamzah kepada Maidam diwakili Haji Wan Harujan disaksikan Menteri Besar, Dato' Seri Haji Ahmad Said. - Foto: Zulkipli Putra.

Kumpulan syarikat Ketengah Holding telah mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM35,999,851 dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding keuntungan sebelum cukai dalam tempoh sama tahun lalu yang berjumlah RM20,777,525.

Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said berkata, dengan keuntungan itu syarikat-syarikat berkenaan dijangka meningkatkan labanya kepada RM53 juta menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, jika sasaran itu dapat dicapai, pengeluaran zakat bagi syarikat-syarikat tersebut juga dijangka meningkat sebanyak 37 peratus.

“Tahniah kepada Ketengah Holding melalui tujuh anak syarikatnya yang berjaya menunjukkan peningkatan keuntungan paling ketara tahun ini dan mampu membayar zakat sebanyak RM973,504,” katanya.

Sepanjang tahun lalu kumpulan syarikat mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM38,940,179 iaitu peningkatan sebanyak 189.37 berbanding keuntungan yang diperolehi pada 2009 (RM20,562,701).

Menteri Besar berkata demikian kepada pemberita di majlis penyerahan zakat kumpulan syarikat Ketengah Holding Sdn Bhd oleh Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) di pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman hari ini.

Ketengah diwakili Pengurus Besar, Dato’ Haji Hamzah Ngah manakala Maidam diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Haji Wan Harujan Sulaiman.

Dato’ Seri Haji Ahmad berkata, apa yang membanggakan ketujuh-tujuh anak syarikat iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd, Ketengah Perwira, Yayasan Islam Terengganu (YIT-Ketengah Perwira), Ketengah Jaya, Kebunika, Ladang Ternak Tani dan Rakyat Ketengah Perwira mencatat keuntungan.

Menurutnya, Ketengah Perwira merupakan penyumbang zakat terbesar iaitu RM508,337 diikuti Ketengah Holding (RM138,470), YIT-KPSB (RM116,921), Ketengah jaya (RM130,078), Rakyat Ketengah Perwira (RM54,302), Kebunika (RM15,333) dan Ladang Ternak Tani (RM10,064).

“Dengan jumlah berkenan peningkatan telah berlaku sebanyak 119.45 peratus berbanding pengeluaran zakat tahun lalu sebanyak RM443,604,” katanya.

Katanya, kumpulan syarikat yang membayar zakat ini terdiri daripada syarikat berasaskan perladangan dan perkilangan dengan aktiviti utamanya adalah pengeluar dan memproses kelapa sawit kecuali Ketengah Holding melalui syarikat pelaburan.

Menteri Besar kemudiannya turut menyerahkan zakat Felda Holding Sdn Bhd (RM268,783) dan Koperasi Permodalan Felda Berhad (RM520,000) dengan jumlah keseluruhannya RM788,783 kepada Maidam.

“Perdana Menteri telah menyerahkan kepada saya semalam di Kuala Lumpur sebagai wakil untuk diserahkan kepada Maidam hari ini,” katanya.