Halaman

18 August 2011

Pertandingan Pelita Raya diteruskan untuk kekalkan tradisi

Oleh: Suriati Ali



Kerajaan negeri dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri Terengganu (LMNT) akan terus menganjurkan Pertandingan Pelita Raya melibatkan lima kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, sebagai usaha mengekal dan mengembangkan tradisi itu.

Penduduk Kampung (Kg) yang terlibat iaitu dari Padang Hangus, Kg Pagar Ubi, Kg Raja, Kg Baru dan Kg Tokeng bagaikan tidak sabar-sabar menanti hari pertandingan yang dijangka berlangsung selama dua hari iaitu bermula pada 24 hingga 26 Ogos.

Kira-kira 200 rumah akan mengambil bahagian dalam pertandingan yang bakal
berlangsung selama dua hari iaitu bermula 24 hingga 26 Ogos itu.

Manakala lebih 10,000 pelita akan dinyalakan dengan mengikut kreativiti dan ciptaan tersendiri termasuk bentuk bangunan Kuala Lumpur City Center (KLCC), Menara Kuala Lumpur, kapal terbang dan sebagainya.

Hadiah keseluruhan yang bakal diterima pemenang berjumlah hampir RM30,000 di mana johan bagi kategori kampung berjumlah RM3,750 beserta piala pusingan dan individu pula memperoleh RM1,000.

Pengarah LMNT, Haji Mohd Yusof Abdullah berkata, pihaknya berasa bangga kerana mampu menganjurkan program yang mampu menghidupkan kembali tradisi lama ini sejak 2009 lagi.

Di samping itu, ia juga dapat menceriakan suasana kampung, memupuk semangat kerjasama antara penduduk dan pemimpin setempat.

“Pertandingan ini akan diteruskan kerana bukan saja mampu menyemarakkan kembali tradisi nenek moyang malah dapat mengasah bakat penduduk berkaitan mereka cipta pelita raya.

“Apa yang membanggakan, pelita yang dipasang itu bukan hanya dibeli dari kedai malah diperbuat daripada pelbagai jenis barangan terbuang seperti tin makanan, tempurung kelapa, botol plastik dan buluh,” katanya.