Halaman

11 August 2011

Puteri tabur bakti sepanjang bulan puasa



Pada Ramadan kali ini Pergerakan Puteri Umno menjalankan dua program murni bagi membantu golongan kurang bernasib baik iaitu mengagihkan makanan untuk berbuka puasa kepada keluarga yang menunggu pesakit di wad Hospital Sultanah Nor Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan hamper kepada pesakit di hospital daerah seluruh negeri.

Program mengagihkan makanan di HSNZ dimulakan sejak 7 Ramadan dan diteruskan hingga hari akhir umat Islam menunaikan ibadat puasa.

Manakala program pengagihan hamper kepada pesakit di hospitak daerah dilancarkan petang semalam di mana Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Ahmad Said dan isteri, To’ Puan Norliza Mahmud, telah mengagihkan hamper berupa makanan dan buah-buahan kepada pesakit di Hospital Dungun.

Pengerusi Program Prihatin Puteri (3P) merangkap Ketua Penerangan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Puan Nordiana Dato’ Shafie, dan saf kepimpinan Puteri Umno Bahagian Dungun turut serta pada majlis pengagihan sumbangan tersebut.

Pada setiap hari 500 pek makanan diagihkan kepada waris pesakit yang berada di wad satu hingga lapan di HSNZ.

Seramai 20 orang sukarelawan Puteri akan bertugas setiap hari untuk mengagihkan makanan berupa nasi putih beserta lauk, kurma dan air mineral sepanjang bulan Ramadan.

Manakala pengagihan hamper ke hospital daerah-daerah akan diteruskan serentak dengan Program Menteri Besar berbuka puasa dengan rakyat di setiap daerah.

Program bagi daerah Kuala Terengganu akan dilakukan pada 17 Ogos, Kemaman (11 Ogos), Marang (14 Ogos),Besut (15 Ogos), Setiu (16 Ogos)dan Hulu Terengganu (21 Ogos).