Halaman

09 August 2011

TNB bantu golongan kurang upaya

Oleh: Kamarudin Mat Akib

Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan melakukan kerja-kerja pendawaian semula wayar elektrik di rumah golongan kurang berupaya di negeri ini, secara percuma bagi memastikan premis mereka selamat diduduki.


Haji Mohd Yuslan Mohd Yusof

Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Mohd Yuslan Mohd Yusof, berkata langkah tersebut merupakan sebahagian daripada khidmat sosial TNB, sekaligus mampu meringankan bebanan mereka kurang bernasib baik.

“Kita akan menggunakan sebahagian daripada wang zakat yang dikeluarkan TNB bagi membiayai projek pemasangan semula pendawaian wayar elektrik di rumah golongan tersebut,” katanya pada sidang media sebelum majlis berbuka puasa dengan wartawan di Primula Beach Hotel, semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan tersebut mengikut lapan asnaf yang ditetapkan mengikut syariat Islam.

“Mereka yang layak boleh menghubungi pejabat TNB yang terdekat bagi mendapatkan bantuan itu atau mana-mana Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Selepas menerima permohonan pihak kami akan mengadakan siasatan dan jika didapati pemohon layak menerima bantuan tersebut, kerja-kerja pendawaian semula di rumah mereka akan dilakukan kontraktor yang dilantik oleh TNB,” ujar beliau.

Beliau berkata, program tersebut dimulakan sejak Mei lalu dan hingga kini lima buah rumah sudah dilakukan pendawaian semula yang membabitkan kos RM500 ke bawah.

“Pihak kami menganggarkan untuk melakukan kerja-kerja pendawaian semula 300 rumah golongan kurang upaya di negeri ini sepanjang tahun ini,” katanya.