Halaman

18 August 2011

USAHAWAN AIR BATU BERI SUMBANGAN KEPADA 100 FAKIR MISKIN

Oleh: Mohammad Ishak


Wan Arif menyampaikan sumbangan kepada fakir miskin di Masjid Alur Lintah, Jertih, semalam.

Seorang usahawan Bumiputera yang menjalankan industri pengeluaran air batu terkemuka di daerah Besut, bermurah hati menyumbangkan pakej pakaian dan makanan kepada golongan miskin membabitkan tujuh kampung di Kawasan Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, semalam.

Seramai 100 penerima dari Kampung Gong Matsom, Gong Badang, Kubang Bemban, Lapang Kotak, Kampung Telok,Pak Demalik dan Alur Lintah menerima sumbangan sempena majlis berbuaka puasa yang diadakan di Masjid Alur Lintah.

Wan Mohd Ariff Risauddin Wan Yusof, yang juga Ketua Penerangan Umno DUN Jertih, berkata pemberian sumbangan itu dilakukan setiap tahun oleh beliau kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pemberian tahun ini lebih meriah kerana ia diadakan secara berkelompok berbanding tahun sebelumnya beliau mengadakan aktiviti seumpama itu dari rumah ke rumah.

“Sumbangan ini sebahagian daripada niat murni saya untuk membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan terutama bagi menyambut persiapan Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata, ia juga sebahagian daripada khidmat komuniti yang dilaksanakan oleh syarikat Hasraff Ice yang menjadi pengeluar air batu tiub terunggul di daerah Besut.

Wan Ariff yang aktif dalam politik sebelum ini banyak membantu penduduk kampung mendapatkan sumbangan air batu percuma ketika mereka mengadakan majlis kenduri kahwin sekitar daerah berkenaan.