Halaman

21 August 2011

YIT jalin usahasama bina hotel RM100 juta

Oleh FAUZI MOHD

Yayasan Islam Terengganu (YIT) bakal memeterai kerjasama dengan sebuah syarikat hartanah bagi membina sebuah hotel empat bintang di bandar raya Kuala Terengganu yang dianggarkan bernilai RM100 juta pada awal tahun depan.

Pengarah yayasan berkenaan, Md. Kamarul Al-Amin Ismail berkata, pembinaan hotel 20 tingkat bersebelahan bangunan Wisma Darul Iman itu bakal menonjolkan seni bina Islam serta rekabentuk bangunan beridentitikan Terengganu.

Menurutnya, melalui pelaburan itu, YIT akan mempunyai kira-kira 30 peratus pegangan saham dalam projek itu manakala selebihnya milik rakan kongsi yang bakal diumumkan kelak.

“Hotel yang dijangka berperasi pada tahun 2014 itu, menjadi projek perhotelan kedua YIT selepas hotel saiz serdehana 20 bilik di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu,” katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, tambah Md. Kamarul, YIT merancang untuk membangunkan tanah-tanah milik yayasan itu di seluruh negeri dengan pelbagai projek komersil yang menguntungkan.

Katanya, tanah dengan luas keseluruhan 29.6 hektar yang dimiliki YIT di Kemaman, Besut, Setiu dan Kuala Terengganu akan dibangunkan secara berperingkat agar ia memberi manafaat kepada penduduk sekitar khususnya pelabur tempatan.

“Pihak YIT mengalu-alukan penyertaan sektor swasta untuk jalin kerjasama dengan YIT bagi membangunkan tanah berkenaan seperti pembinaan rumah kedai dan ruang pejabat.

“Dengan kedudukan tanah yang strategik, pelaburan itu mampu meningkatkan penyertaan YIT dalam bidang hartanah serta memberi pulangan optimun kepada kami,” ujarnya.