Halaman

16 September 2011

1,000 ahli dan pemimpin Rukun Tetangga Daerah Besut hadir majlis Hari Raya

Oleh: Mohammad Ishak


Dr Rahman disambut oleh Pegawai JPNIN Kamaruddin Deraman (kanan)

Sambutan majlis Hari Raya anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Daerah Besut yang berlangsung di Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah itu semalam tetap meriah walaupun suasana Aidilfitri sudah berlalu dua minggu lalu.

Kira-kira 1,000 jemputan termasuk ahli dan pemimpin Kawasan Rukun Tetangga (KRT), guru dan pembantu guru Tabika Perpaduan, kanak-kanak Tabika Perpaduan serta ibu bapa dan pemimpin setempat menghadiri malis berkenaan.

Malah kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan,Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dr A Rahman Mokhtar bersama isteri memeriahkan lagi majlis yang diadakan pada setiap tahun itu.

Sempena majlis itu, JPNIN turut menganjurkan pertandingan mewarna yang disertai 100 kanak-kanak Tabika Perpaduan seluruh daerah Besut.


Sebahagian kanak-kanak Tabika Perpaduan menyertai acara pertandingan mewarna

Dr A Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, beliau bangga melihat semangat kerjasama dan perpaduan yang ditunjukkan oleh komuniti negeri ini khususnya program yang dianjurkan oleh JPNIN.

Katanya, penubuhan KRT oleh jabatan itu banyak membantu kerajaan bukan sahaja merapatkan jurang perbezaan kaum malah tanggungjawab Rukun Tetangga sekarang semakin luas dengan peranan yang bertambah termasuk mengawal keselamatan.

Beliau berkata ini terbukti apabila penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) oleh KRT berjaya membanteras aktiviti jenayah yang dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab di negeri ini.

“Kerajaan mengharapkan JPNIN dapat menubuhkan lebih banyak pasukan SRS supaya ia dapat disertai oleh komuniti setempat secara lebih berkesan,” katanya.