Halaman

28 September 2011

11 persatuan nelayan Terengganu terima sumbangan RM1.1 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kerajaan negeri memberi sumbangan RM1.1 juta kepada semua 11 persatuan nelayan di Terengganu untuk tujuan modal pembangunan projek kecil di kawasan masing-masing.

Sumbangan RM100,000 setiap persatuan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said pada majlis perjuampaan beliau bersama warga nelayan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Marang, hari ini.

Ia termasuklah kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Marang, PNK Besut, PNK Kuala Terengganu Utara, PNK Dungun, PNK Paka, PNK Kemasik, PNK Kijal, PNK Kemaman dan Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (Penentu).

Turut mendapat perhatian, tujuh peserta yang mendapat bantuan peralatan pemprosesan daripada Jabatan Perikanan bernilai RM47,000.

Selain itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan lesen sampan kepada 28 orang nelayan kawasan Parlimen Marang.

Menteri Besar dalam ucapannya berkata, pemberian pelbagai bantuan kepada golongan nelayan itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan setiap nelayan.

Beliau turut mencadangkan agar jeti tidak harus dijadikan sebagai tempat pendaratan ikan semata-mata tetapi juga sebagai pusat kegiatan agro-pelancongan seperti memancing, menjual ikan bakar dan sebagainya.

“Seharusnya mereka berusaha mempelbagaikan punca pendapatan dan ini akan membantu kerajaan mencapai sasaran meningkatkan pendapatan nelayan sekali ganda menjelang tahun 2020," katanya.

Tambah Dato’ Seri Ahmad, dengan pemberian lessen sampan itu maka setiap mereka layak menerima elaun sara diri sebanyak RM200 sebulan selain subsidi petrol dan dibayar 10 sen bagi setiap satu kilogram tangkapan.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dato’ Mohd. Jidin Shafee dan Pegawai Pembangunan DUN Rhu Rendang, Nik Dir Nik Wan Ku.