Halaman

21 September 2011

20 sekolah agama Terengganu terima peruntukan RM3.16 juta

Oleh FAUZI MOHD

Kementerian Pelajaran menyalurkan peruntukan sebanyak RM3.16 juta kepada 20 buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) di Terengganu.

Peruntukan kepada 14 buah SMA dan 6 buah SMKA itu antara lain mahu meningkatkan lagi tahap pencapaian pelajar di sekolah berkenaan melalui program pembangunan akademik serta menaik taraf kemudahan sokongan pembelajaran.



Agihan RM140,000 untuk setiap SMA dan RM200,000 untuk SMKA itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin pada majlis perjumpaan dengan guru agama, imam dan bilal di Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu di Alor Limbat, petang semalam.




Turut hadir pada majlis itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri, Dato’ Yahya Khatib Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Dato’ Ghafar Abdullah.

Sekolah berkenaan termasuk SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Mahmudiah, SMA Sultan Ismail, SMA Marang, SMKA Tok Jiring, SMKA Sheikh Abdul Malik, SMKA Kuala Abang dan SMKA Durian Guling.



Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya sedia membantu dan berkongsi kepakaran dengan kerajaan-kerajaan negeri dalam menambah baik proses pengajaran dan pembelajaran sekolah-sekolah agama seluruh negara.

Beliau berkata, kementerian sedia mengaturkan latihan kepada guru-guru termasuk bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran Jawi, al-Quran dan Fardu Ain (jQAF).

Katanya, kerajaan pusat tidak akan meminggirkan mana-mana negeri yang tidak berkeupayaan untuk mengadakan program-program berbentuk latihan dalam usaha mengukuhkan Pendidikan Islam.

"Dalam soal Pendidikan Islam, kita tidak mengira batasan untuk memberi dan berkongsi apa yang kita ada. Contohnya, ketika saya berjumpa dengan guru-guru jQAF di Pulau Pinang baru-baru ini yang memaklumkan bahawa mereka kekurangan program latihan perguruan.

"Jadi, kita akan bantu dan sediakan kemudahan program latihan tersebut agar mereka setaraf dengan guru-guru di sekolah agama di negeri lain dan tidak akan berkompromi soal berkenaan sama ada siapa pemerintah negeri itu," katanya.

Dalam pada itu katanya, Kementerian Pelajaran akan berusaha menyelaraskan standard pengajaran 13,000 guru jQAF di seluruh negara.

Ia juga bagi meningkatkan lagi keberkesanan sistem pengajaran selain dapat memperkukuhkan subjek agama.

Muhyiddin turut meluangkan masa mengadakan sesi dialog bersama guru-guru agama, bilal dan imam yang hadir pada majlis berkenaan.