Halaman

24 September 2011

Semarak Merdeka di Besut

Oleh: Mohammad Ishak



Program Semarak Merdeka Peringkat Daerah Besut mencatat sejarah apabila ribuan peserta yang mewakili pelbagai komuniti daerah itu membanjiri Dataran Jertih Souq.

Lebih 200 kontinjen yang menyertai perarakan memenuhi dataran yang terletak di tengah pusat bandar itu.

Perarakan kontinjen bermula jam 7.30 pagi melalui lima penjuru termasuk dari Hulu Besut,Kuala Besut, Kota Putera, Jabi dan Jertih menyebabkan jalan masuk ke bandar ini ditutup kepada semua kenderaan sejak jam 7 pagi.

Pelbagai acara menarik diadakan termasuk perarakan gajah, kuda, kereta sewa, kederaan pacuan empat roda, basikal, vespa, kancil dan motosikal berkuasa tinggi.

Manakala kontinjen perarakan pula disertai jabatan kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pasukan keselamatan, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan petubuhan lain.

Program anjuran bersama Pejabat Daerah Besut, Jabatan Penerangan Terengganu, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dan Umno Bahagian Besut, turut dihadiri pemimpin kerajaan daerah itu.

Ketua Umno Bahagian Besut, Dato’ Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Mara, hadir.



Paling menarik, program itu turut memberi penghargaan kepada lebih 100 tokoh yang berjaya dalam perjuangaan kemerdekaan termasuk mereka yang bertugas sebagai anggota tentera, polis dan home gard.

Manakala pihak penganjur juga memberi penghargaan kepada 12 penerima khas Tokoh Kemerdekaan termasuk, Tan Sri Dr Mohamad Yusof Noor, Tun Mohd Salleh Abas, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud, Engku Tan Sri Datuk Seri Ibrahim Engku Ngah dan beberapa tokoh lain dalam bidang akademik, agama dan budaya.