Halaman

25 September 2011

3,000 warga DUN Manir hadir jamuan raya bersama MB

Oleh FAUZI MOHD

Biarpun Syawal hampir ke penghujung, kemeriahan bulan mulia ini terus dirasai pada Majlis Mesra Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir di Kampung Pulau Bahagia, di sini malam tadi.



Selain menjamu selera, majlis yang bermula seawal pukul 8 malam itu dihadiri lebih 3,000 penduduk sekitar yang turut mengambil peluang bertemu dan bersalaman dengan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said yang turut berkunjung ke majlis itu.

Pegawai Pembangunan DUN Manir, Yusof Awang Hitam berkata, penduduk Manir cukup terharu kerana Menteri Besar tidak jemu-jemu untuk turun padang menjenguk rakyat di DUN itu dalam pelbagai program yang dianjurkan sebelum ini.

“Sambutan di sini agak berbeza berbanding DUN atau Parlimen yang lain kerana kita adakan pada waktu malam. Selain kawasan persekitaran diterangi cahaya pelita dan tembakan bunga api, kehadiran pengunjung cukup memuaskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada majlis itu. Turut hadir, Yang Dipertua DUN merangkap Ketua UMNO Hulu Terengganu, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Wan Nawawi Wan Ismail.

Selain dihiburkan dengan celoteh penyampai radio daripada Terengganu fm, pengunjung yang hadir berpeluang menyaksikan pertunjukkan silat daripada kanak-kanak dan persembahan lagu raya daripada kumpulan muzik Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).



Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan watikah perlantikan kepada semua 20 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di DUN berkenaan.

Sementara itu, Dato’ Seri Ahmad turut menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi Pertandingan Pelita Raya Peringkat DUN Manir 2011 yang dimenangi oleh JKKK Banggol di tempat pertama, JKKK Peradong (kedua), JKKK Durian Mas (ketiga) dan JKKK Pulau Bahagia (keempat).

Turut diraikan, bekas Penghulu Mukim Manir, Tajol Ariffin Embong dan Pengerusi Veteran UMNO DUN Manir, Yusof Ismail yang menerima Anugerah Jasamu Dikenang pada majlis itu.



Paling mengembirakan, semua kanak-kanak yang hadir menerima duit raya yang disampaikan Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Seri Norliza Mahmud yang turut hadir pada majlis itu.