Halaman

08 September 2011

60 kakitangan JHEAT terima APC

Oleh FAUZI MOHD

Seramai 60 kakitangan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) menerima pengiktirafan sempena Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2011 yang diadakan di Dewan Auditorium, JHEAT, di sini hari ini.

Daripada jumlah itu, 34 adalah wanita yang menerima wang tunai RM1,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat.

Pesuruhjaya JHEAT, Mohd. Rozali Saleh berkata, penghargaan itu bagi menghargai dan mengiktiraf sumbangan mereka kepada organisasi selepas berjaya memperoleh kualiti prestasi perkhidmatan terbaik sepanjang tahun.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar inisiatif menghargai kakitangan malah sebagai motivasi kepada mereka untuk menghasilkan prestasi kerja terbaik.

"Pencapaian ini jelas membuktikan penerima sudah menunjukkan prestasi kerja berkualiti serta komitmen tinggi dalam menjalankan tanggungjawab sebagai penjawat awam," katanya.

Antara penerima APC yang diraikan, bekas Pesuruhjaya JHEAT, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail, Shamsani Abdullah, Irwan Mat Din, Muhamad Khasmizan Abdullah, Tuan Rahana Tuan Syed, Wan Faizah Wan Husin dan Zaini Awang.

Turut diraikan 10 kakitangan JHEAT yang bakal bersara pada tahun ini termasuk Abdul Rahman Abdullah, Mohd. Yusof Musa, Ghani Sulong, Ibrahim Hitam dan Che Minah Mohamad.